Daily Archives: 11/09/2018

Penghalang lori sudah dibina di Jalan Putra Prima Utara

11/9/2018

oznor

Sebuah penghalang lori dengan had ketinggian 2.5m telah dibina di Jalan Putra Prima Utara baru baru ini. Tujuannya untuk menghalang lori lori tanah yang bermuatan tinggi melalui jalan ini, kerana lori-lori tanah yang berat ini telah mengakibatkan kerosakan yang teruk terhadap jalan yang baru sahaja diturap semula atau dipulihkan oleh majlis.

Sejak 8 bulan kebelakangan, jalan ini telah pun menjadi laluan utama ratusan lori tanah bermuatan berpuluh ton. Lori tanah yang berat ini melantak jalan perumahan (residential) yang tidak setaraf lebuhraya setiap hari. Persatuan Penduduk 8A lalu bertindak segera dan membuat aduan kepada pihak berkuasa tertentu seperti majlis MPSepang, JPJ dan juga polis trafik. Walaupun tindakan saman dan amaran diberi kepada lori-lori yang melebihi had berat muatan,  tetapi  langkah ini tidak bagitu berkesan.

Ekoran aduan seringkali dibangkitkan oleh persatuan penduduk 8A dan jalan diturap sekali, tetapi jalan ini tetap mengalami kerosakan dalam masa dua tiga bulan sahaja terutamanya pada musim hujan. Akhirnya pihak majlis mengambil keputusan membina satu palang besi yang kukuh, hanya memberi laluan kereta dibawah ketinggian 2.5m sahaja, manakala lori dan kenderaan besar dihalang sama sekali melalui jalan ini.

Persatuan Penduduk PP8A juga ingin mengambil kesempatan ini merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Saudara Ng Kuo Sin selaku setiausaha Persatuan Penduduk 8A merangkap AJK JPP Zon Taman Putra Prima / Tmn Mas, atas usaha beliau memantau perkara ini dengan rapinya bersama JPJ, Polis dan Majlis, dan tidak kurang penghargaan kepada semua AJK JPP, khususnya Ahli Majlis Tuan Syamsol Bin Md Sharif yang telah membantu dalam penyelesaian ini.